DANG' ISAH, MANGSA KECANTIKAN YANG MEMAKAN DIRI
TIDAK sepopular cerita rakyat Sarawak seperti 'Puteri
Santubong, Puteri Sejinjang' bagaimanapun kisah 'Dang Isah Tandang Sari'
seakan-akan dipandang sepi biarpun sebenarnya ia sehebat cerita legenda Mahsuri
yang dibanggakan masyarakat Langkawi.
Tambahan pula, kisah ini secara tidak langsung turut
mengetengahkan kegemilangan kerajaan Saribas dan daerah Tandang Sari yang
pernah wujud di Sarawak lebih 300 tahun lalu.
Menyorot kisah yang berlaku di zaman pemerintahan kerajaan
Saribas sewaktu diteraju oleh Datu Temenggong Kadir yang tinggal di Tandang
Sari, pemimpin berjiwa rakyat ini mempunyai seorang isteri bernama Dayang
Hajar.
Sayangnya, mereka tidak dikurniakan cahaya mata biarpun
telah tujuh tahun bergelar suami isteri.
Sewaktu bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong di
muara Batang Saribas, Datu Temenggong yang keletihan telah tidur beralaskan
sebatang buluh.
Apabila terjaga, buluh tersebut dikatakan bertukar menjadi
telur dan akhirnya menetaskan seorang bayi perempuan, yang kemudian dinamakan
Dang lsah.
Dang Isah membesar sebagai gadis yang sangat cantik dan
disayangi ramai, namun hatinya telah dicuri oleh Awang Bunut.
Terdapat bahagian rambut Dang Isah yang ditumbuhi tujuh
warna rambut dan apabila dewasa, Datu Temenggong telah bermimpi agar meletakkan
hantaran 10 kati emas untuk mengahwini Dang lsah.
Makam 'Dang Isah Tandang Sari' yang masih wujud di Kampung Kalok, Pusa.
Perkara tersebut amat mendukacitakan Awang Bunut dan demi
mengahwini Dang Isah, dia telah merantau untuk mencari emas sebanyak itu.
Sepeninggalan Awang Bunut, seorang nakhoda Bugis bernama
Nakhoda Khar telah datang untuk mengahwini Dang lsah.
Dengan hantaran 10 kati emas, mereka pun berkahwin.
Sebulan selepas perkahwinannya, Nakhoda Khar meneruskan
aktiviti pelayarannya.
Dia telah berlayar kembali ke Brunei.
Sewaktu Nakhoda Khar berlayar, Awang Bunut kembali ke
Tandang Sari dengan membawa 10 kati emas untuk mengahwini Dang lsah.
Namun, segalanya telah terlambat. Pertemuan terakhir Awang
Bunut dan Dang Isah itu telah disalahertikan oleh Nakhoda Khar yang berpatah
balik kerana kerisnya tertinggal.
Nakhoda Khar membunuh Awang Bunut kerana cemburunya.
Dang Isah cuba membunuh diri dengan keris Nakhoda Khar yang
menikam Awang Bunut tetapi keris tersebut tidak dapat menembusi perut Dang
lsah.
Melihat kejadian itu, Datu Temenggong kemudian membunuh
Nakhoda Khar dan kisah tragis ini berakhir dengan kematian Dang Isah yang
dibelit dengan rambut tujuh warnanya sendiri, oleh ayahnya
Kisah bangsawan Sarawak ini, telah dihidupkan semula oleh
pertubuhan Maher Seni Kuching yang merungkai kisah legenda 'Dang Isah Tandang
Sari' menerusi pentas teater pada November lalu.
Diberi tajuk 'Dang Isah Tandang Sari - Aku Adalah Mangsa
Kecantikanku', pementasan teater hasil karya Moh Azam Rezali dan arahan Andenn
Hassan ini telah menonjolkan kewujudan kisah Dang Isah Tandang Sari, yang
sebelum ini hanya diketahui oleh orang zaman dahulu sahaja.
Malah berbanding 'Puteri Santubong, Puteri Sejinjang', kisah
legenda Dang Isah Tandang Sari juga adalah benar-benar wujud, dan ini
dibuktikan dengan terdapat makamnya di Sarikei, cuma ramai orang Sarawak tidak
mengetahuinya.
No comments:
Post a Comment