Total Pageviews

Wednesday, September 11, 2019

DATO GODAM: Dari Minangkabau ke Saribas

MELAYU SARIBAS ASIMILASI MINANGKABAU DAN BRUNEI


Keturunan Raja Umar bin Datuk Bendahara Harun @ Datu Godam dari Pagar Ruyung, Minangkabau, Sumatera Barat



Melayu Perabangan yang merujuk kepada salsilah keturunan Raja Umar @ Datu Godam ini adalah Melayu Perabangan yang berasal dari satu daerah di Sarawak iaitu Saribas dan kawasan sekelilingnya.

Melayu Perabangan di Saribas tidak mempunyai kaitan langsung dengan Melayu Perabangan dari Datu Merpati Jipang sebaliknya merujuk kepada seorang lagi putera dari Kerajaan Pagar Ruyung, Minangkabau, Sumatera Barat
.


Ini dapat dibuktikan melalui penceritaan sebuah manuskrip lama yang dinamakan Tarsilah Melayu Saribas yang merupakan manuskrip lama yang menjadi rujukan sejarah bagi Kesultanan Brunei Darussalam dan Sarawak sendiri.

Raja Umar bin Datuk Datuk Bendahara Harun @ Dato Gudam @ Datu Gudam @ Abang Godam merupakan seorang putera kepada Bendaro Harun bin Bendaro Ismail. Ayahandanya merupakan anggota “Basa Ampek Balai” iaitu golongan pembesar dari Kerajaan Pagar Ruyung yang mentadbir kerajaan melalui adat Minangkabau. Bendaro Harun bukanlah seorang yang sembarangan kerana Bendaro Harun sendiri merupakan keturunan daripada Raja Suran iaitu individu yang mewarnai sejarah dan legasi Iskandar Zulkarnain, salah seorang pahlawan dunia Melayu Islam sejagat.



Gambar menunjukkan Istana Pagar Ruyung di Sumatera Selatan



Dato Gudam merupakan putera Bendaro Harun hasil perkahwinannya dengan seorang wanita Belanda iaitu puteri kepada Residen Belanda di Sumatera Barat yang bernama Jan Van Groenewegen. Oleh kerana beliau dikatakan bukan “Anak Minang Sejati” akhirnya Datu Godam ditidakkan haknya untuk mewarisi jawatan Bendaro atau Datuk Bendahara di dalam “Basa Ampek Balai” Kerajaan Pagar Ruyung, Minangkabau.

Dengan membawa hati yang kecewa, Dato Gudam membawa diri dengan belayar sambil menjadi peniaga dan pelayarannya itu membawanya sampai ke muara Saribas. Di ketika itu Saribas adalah dibawah kekuasaan seorang pembesar Kesultanan Brunei iaitu Datu Temenggong Abdul Kadir.
Perkenalan antara Datu Temenggung Abdul Kadir dengan Dato Gudam telah menjadi rapat dek kerana baiknya tingkahlaku Dato Godam itu sendiri membawa diri di negeri orang. Atas pengaruh hubungan baik dengan Datu Temenggung Abdul Kadir akhirnya kedatangan Dato Godam ke Brunei Darussallam disambut dengan mesra oleh Sultan Brunei pada masa itu. Sekali lagi betapa baiknya tingkahlaku Dato Godam di mata Sultan Brunei akhirnya beliau diangkat menjadi penasihat kepada Kesultanan Brunei pada waktu itu.



Apabila Sultan Brunei menawarkan diri untuk mencari jodoh buat teman hidup Dato Godam yang ketika itu masih bujang, Dato Godam telah memberikan syarat kepada Sultan Brunei iaitu beliau hanya akan berkahwin dengan isteri ke-3 Sultan Brunei ketika itu iaitu Pengiran Kachi @ Dayang Chi @ Dayang Esah.

Sebenarnya permintaan Dato Godam itu adalah untuk menunaikan janjinya dengan Datu Temenggung Abdul Kadir yang mana Dayang Chi adalah satu-satunya puteri kepadanya dan beliau sebenarnya ingin Dayang Chi sentiasa disampingnya. Kerana sayangnya Sultan Brunei kepada Dato Godam, permintaan itu diterima jua maka Dayang Chi dan Dato Godam pun disatukan mengikut istiadat perkahwinan masyarakat Brunei pada masa itu.

Hasil perkahwinan Dato Godam dengan Dayang Chi telah dikurniakan dengan 2 orang putera yang dinamakan Abdul Rahman dan Said. Di ketika Dato Godam diminta oleh ayahandanya Bendaro Harun untuk kembali ke Pagar Ruyong, Sultan Brunei telah meminta agar Dato Godam 
meninggalkan salah seorang daripada anaknya di Brunei. Maka dititipkannya putera bongsunya iaitu Said yang kemudiannya dibesarkan di istana Brunei dan diberikan gelaran sebagai Menteri Puteh dan disinilah bermulanya asal keturunan “Awang damit-damit” di Brunei
.



Apabila Dato Godam singgah ke Saribas sebelum meneruskan pelayarannya ke kampung halamannya di Pagar Ruyung, ayahanda mentuanya pula sedang sakit tenat dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dan ketika itulah Dato Godam mewarisi pemerintahan ayahanda mentuanya di Saribas. Putera sulungnya iaitu Abdul Rahman diberikan gelaran Menteri Uban telah meneruskan legasi pemerintahan di Saribas dan melahirkan apa yang dipanggil Melayu Perabangan di Saribas sekarang.

Credit to https://iopscience.iop.org/article/10.1088/1755-1315/175/1/012050/pdf

No comments:

Post a Comment

Baso Saribas, Baso Minang, Bahasa Melayu

Menurut buku DATO GODAM kajian, penyelidikan dan karya sejarawan Negara Brunei Darussalam, Dr Haji Awang Mohd. Jamil Al Sufri, Dato Godam ad...