Total Pageviews

Wednesday, September 11, 2019

Kembalikan Semula Jajahan SARIBAS



BETONG: Selepas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyatakan persetujuan untuk menamakan semula Bahagian Sri Aman kepada Bahagian Simanggang, penduduk di Bahagian Betong pula mahu perkara serupa agar bahagian ini ditukarkan kepada Bahagian Saribas.



Perkara tersebut disuarakan oleh Persatuan Kemajuan Melayu Saribas (Perkemas) dan presidennya Abang Bollhassan Abang Abdul Latip berkata, aspirasi warga Saribas terhadap usul itu begitu tinggi.
“Harapan masyarakat di sini amat tinggi terhadap persetujuan Abang Johari untuk menamakan semula Bahagian Betong menjadi Bahagian Saribas seperti mana Simanggang.




“Mewakili seluruh warga Bahagian Betong, aspirasi tersebut diharap dapat direalisasikan kerana ia bukan sahaja diimpikan oleh masyarakat Melayu, tetapi hampir kesemuanya baik Iban mahupun Cina dari Saribas yang mana ia melambangkan jati diri dan pengenalan bagi setiap warga yang berasal dari Saribas,” katanya kepada Suara Sarawak di sini, semalam.
Menurutnya, alangkah sedih apabila jati diri warga Saribas dibuang begitu sahaja.

“Sepatutnya ia dimartabatkan agar tidak hilang dan tenggelam dek arus perubahan zaman.

“Suatu ketika dahulu Saribas begitu popular meniti di bibir setiap anggota masyarakat. Misalnya apabila kita bertanya dan berjumpa dengan warga Saribas di luar, rata-rata akan mengatakan mereka ‘orang Saribas’ walaupun terdapat banyak perkampungan di dalamnya.

“Akan tetapi, penggunaan istilah Saribas lebih didahulukan sebelum menyebut nama kampung masing-masing seperti ‘kamek orang Saribas, diam di Debak,” ujarnya.

Jelasnya, pusat pentadbiran Kerajaan Saribas yang berpusat di Tandang Sari (sekarang Daerah Pusa) di bawah pemerintahan Dato Temenggung Kadir mewakili Kesultanan Melayu Brunei merupakan sebuah kerajaan yang amat dihormati dan disegani kerana semangat perjuangan keberanian dan kegagahan orang Saribas ketika itu.

Bollhassan dalam pada itu berharap Kerajaan Sarawak memberi perhatian menyeluruh di semua kawasan Saribas yang mana berlaku ketidakseimbangan pembangunan menyebabkan banyak perkampungan masih ketinggalan, serba kekurangan terutama sekali melibatkan pembangunan infrastruktur dan pembangunan ekonomi masyarakat.

Menurutnya, Perkemas pada masa ini sedang merangka pelan untuk menumpukan pembangunan ekonomi warga Saribas agar masyarakat amnya dan ahli-ahli Perkemas khususnya tidak jauh ketinggalan.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Warga Islam Saribas (Perwaris) Dr. Burhan Bodeng turut menyambut baik kalau ada cadangan untuk menamakan semula Bahagian Betong kepada Bahagian Saribas.

“Bagi saya ia satu usaha yang murni dan kita amat menyokong,” katanya.
Tambahnya, pihak Perwaris sebenarnya telah lama untuk membawa perkara ini ke pengetahuan kerajaan dan kerap kali dibincang cuma belum berkesempatan bertemu Ketua Menteri.

Pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anak Perantau Melayu Simanggang di Dewan Suarah Kuching beberapa hari lalu, Abang Johari secara dasar bersetuju agar Bahagian Sri Aman dinamakan kepada Simanggang dan mengekalkan bandarnya dengan nama Sri Aman.

Abang Johari memaklumkan akan membawa perkara tersebut ke Kabinet untuk pertimbangan dan berharap rakan-rakan Kabinet juga bersetuju kerana nama Simanggang sememangnya terkenal.

No comments:

Post a Comment

Baso Saribas, Baso Minang, Bahasa Melayu

Menurut buku DATO GODAM kajian, penyelidikan dan karya sejarawan Negara Brunei Darussalam, Dr Haji Awang Mohd. Jamil Al Sufri, Dato Godam ad...